PEMAIN TFC giat menjalani latihan menjelang pertemuan suku akhir kedua menentang KL City FC. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC giat menjalani latihan menjelang pertemuan suku akhir kedua menentang KL City FC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut pemainnya agar berwaspada dengan kebangkitan dan 'amukan' skuad Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kedua-dua pasukan itu bakal 'bertempur' sekali lagi pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu menegaskan, tiada istilah selesa berdepan skuad kendalian Bojan Hodak itu walaupun skuadnya kini mempunyai bekalan satu gol selepas menang 1-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad lalu.

Katanya, skuad The City Boys pasti hadir dengan strategi dan taktikal berbeza dalam misi mereka untuk mempertahankan gelaran juara trofi itu yang dimenangi musim lalu dengan menumbangkan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tambah Nafuzi, peluang buat kedua-dua pasukan untuk melangkah ke pentas separuh akhir terbuka luas, namun menuntut anak buahnya fokus sepanjang 90 minit bagi memastikan tiket empat pasukan terbaik menjadi milik TFC.

"Saya melihat peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan, kemenangan 1-0 itu bukanlah keputusan yang selesa dan jaminan buat kami untuk menempah tiket lebih awal ke separuh akhir.

"Pengalaman yang ada pada Hodak juga harus diambil kira dan perlu berwaspada lebih-lebih lagi dalam aksi penting itu.

"Kelebihan lawan adalah dalam situasi bola mati dan juga mempunyai disiplin bertahan yang baik selain serangan pantas, kualiti pemain juga bagus sehingga layak ke final Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

"Namun kita harap dapat melangkah ke peringkat separuh akhir lebih-lebih lagi beraksi di depan ribuan peminat setia dan menuntut pemain beraksi bermati-matian dan fokus 90 minit untuk menamatkan perlawanan tanpa memikirkan sepakan penalti," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) di Gong Badak, petang kelmarin.

Mengulas ketiadaan penjaga gol utama, Suhaimi Husin yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah pada aksi suku akhir pertama, jurulatih berusia 44 tahun itu tidak begitu bimbang kerana dua lagi pemain juga mampu menggalas tugas berkenaan.

"Ketiadaan Suhaimi Husin tidak menggusarkan kerana dua lagi penjaga gol iaitu Rahadiazli Rahalim dan Mohd Shamirza Yusoff juga tidak kurang hebatnya, ditambah pula pemain pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni sudah dapat kembali selepas digantung satu perlawanan akibat kad merah.

"Jadi kita beraksi seperti biasa, tapi kita tidak mahu beraksi dengan sepuluh pemain lagi selepas dua perlawanan berturut-turut walaupun mereka sudah beberapa kali terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain termasuk dalam Liga Super, saya puji karakter pemain," katanya akui anak buahnya kini berada pada tahap prestasi terbaik dan motivasi tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 2:27 PM