AMIR Amri (tiga dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat Agung Luar Biasa KRM, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
AMIR Amri (tiga dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat Agung Luar Biasa KRM, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menjelaskan kes siasatan pecah amanah bernilai hampir RM2 juta yang dikesan pada 2022 kini dalam fasa terakhir bagi mengheret individu disyaki terbabit ke muka pengadilan.

Menurut Pengarah Undang-Undang dan Peraturan KRM, Muhammad Najib Hamzah, siasatan pihak polis berkenaan kes itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam tempoh terdekat.

"Kita sering berhubung dengan pegawai penyiasat dari pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi. Ketika ini, status isu pecah amanah itu masih dalam siasatan di peringkat akhir untuk dapatkan arahan selanjutnya oleh Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa KRM.

Ujar Najib, buat masa ini suspek dikenalpasti dan kebiasaannya kes membabitkan jenayah komersial perlu mengheret tertuduh ke muka pengadilan sebelum penahanan suspek dibuat.

"Mengenai nilai pecah amanah itu saya tidak boleh dedahkan kerana ia masih dalam siasatan polis, tetapi apa yang boleh saya katakan nilai daripada laporan audit forensik dan siasatan polis berbeza kerana ia lebih kepada transaksi.

"Jadi, kita kena tunggu laporan siasatan polis dan selepas itu barulah dapat tahu berapa nilai pecah amanah yang dilakukan oleh tertuduh. Kita harap, masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Presiden KRM, Amir Amri Mohamad mendedahkan menerusi EGM berkenaan, pihaknya mendapat sokongan daripada 12 ahli gabungan untuk meneruskan siasatan terutama membentang laporan kewangan pada tahun 2021 dan 2022.

"Laporan audit kewangan yang dibuat oleh firma audit swasta akan dibentang secara lebih terperinci kepada ahli gabungan dalam tempoh seminggu.

"Menerusi mesyuarat EGM hari ini kita mendapat sokongan 12 ahli gabungan dan mereka semua berada di belakang kita bagi meletakkan semula KRM di pentas lebih baik," katanya.

Tambahnya, ahli gabungan bersetuju agar laporan firma audit swasta dibentangkan dalam tempoh terdekat dan beliau berharap laporan itu dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 8:58 PM