Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Misi wajib menang menjadi buruan Terengganu FC (TFC) menentang Sabah FC pada aksi terakhir Liga Super di laman sendiri musim ini sebelum bertandang ke tempat lawan dalam tiga aksi seterusnya.

Justeru pengendali skuad Penyu itu, Nafuzi Zain menuntut anak buahnya menggunakan segala kudrat dan pengalaman yang ada untuk mengutip tiga mata pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok bagi mengintai peluang mendaki tangga ketiga liga.

"Kita tiada pilihan, kecuali perlu mengutip tiga mata menentang Sabah FC bagi mengumpul 12 mata maksimum daripada empat perlawanan dalam misi memburu tiga tempat teratas Liga Super.

"Kekalahan 1-2 kepada Sabah FC di tempat lawan tempoh hari perlu dijadikan pengajaran berguna buat pemain lebih-lebih lagi aksi terakhir dalam saingan Liga Super di tempat sendiri musim ini.

"Namun pemain perlu waspada dengan kebangkitan skuad itu kerana bagi saya kekuatan mereka terletak kepada pemainnya yang mempunyai pengalaman yang luas, jadi sudah tentu bukan perlawanan yang mudah biarpun beraksi di tempat sendiri.

"Apa-apapun harap pemain berjuang habis-habisan di depan penyokong sendiri dengan fokus untuk mengutip tiga mata penuh," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, petang semalam.

Ketika ditanya adakah perlawanan menentang skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal menjadi penentu pasukannya untuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga.

Nafuzi menjelaskan aksi terbabit bukanlah penentu kerana masih ada tiga perlawanan lagi selepas itu menentang Melaka United FC (MUFC), Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan terakhir Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang semuanya beraksi di tempat lawan.

"Bagi saya perlawanan menentang Sabah FC bukan penentu sama ada kita mampu menamatkan saingan liga di tempat ketiga atau sebaliknya kerana masih ada tiga perlawanan lagi di tempat lawan.

"Pada saya perlawanan terakhir akan jadi penentuan pasukan mana yang layak beraksi di pentas Asia nanti," katanya yang akui ceria kerana beliau mempunyai banyak pilihan untuk memilih pemain tebaiknya selepas semua bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam carta liga, TFC menghuni tangga keempat dengan mengumpul 32 mata di belakang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang mengutip 35 mata manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) gah di persada liga dengan 43 mata diikuti Sabah FC 36 mata.

AB Rasid (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Sasoakai Resources, Syed Ahmad Anas Engku Kelana Diraja di pejabat TFC hari ini. FOTO  TFC
AB Rasid (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Sasoakai Resources, Syed Ahmad Anas Engku Kelana Diraja di pejabat TFC hari ini. FOTO TFC

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 4:12 PM