Barisan pemain JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang TFC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.  FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Barisan pemain JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang TFC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tiga kemenangan berturut-turut dan belum dibolosi termasuk menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-0, Rabu lalu sememangnya belum memberi jaminan prestasi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super berada di tahap memuaskan.

Malah pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan pertembungan menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok adalah ujian getir buat barisan pemainnya tatkala pernah dikejutkan selepas tewas 0-1 pada aksi musim lalu.

Bagi Mora pencapaian itu boleh dianggap sebagai motivasi buat pemain tapi enggan terus berada di awangan dengan terlalu bangga terhadap kejayaan melakar tiga kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi sepanjang 270 minit permainan.

"Kami tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kami raih ketika ini kerana perjalanan liga masih panjang dan perlu mengharungi satu demi satu perlawanan tanpa membuat kesilapan mudah yang mampu meruntuhkan semangat pemain.

"TFC pernah tewaskan kami pada aksi liga musim lalu dan mereka pasti mahu bangkit selepas tewas mengejut ke atas Petaling Jaya City FC ( PJ City FC), baru-baru ini,, Justeru kami harus bersikap berhati-hati dengan penampilan corak permainan mereka nanti.

"Apapun, saya berharap pemain akan terus fokus dan mengekalkan momentum permainan konsisten kerana kemenangan di laman kami akan beri impak positif tatkala membuat persiapan bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), pertengahan bulan April ini," katanya.

Apapun, skuad Harimau Selatan tampak berada di dalam dilema sama ada pemain import, Fernando Forestieri bakal diturunkan atau diketepikan selepas mengalami kecederaan akibat terjahan keras pemain KL City FC).

Tapi ada kelegaan di kem skuad Harimau Selatan selepas Nazmi Faiz Mansor yang mengalami kecederaan ketika latihan bersama skuad kebangsaan kembali menjalani latihan untuk persiapan menentang skuad kendalian Nafuzi Zain.

Malah kelibat Bergson Da Silva menjadi taruhan terbaik buat JDT untuk mengekalkan momentum jaringan selepas pemain kelahiran Brazil itu sudah kembali menemui sentuhan penyudah selepas meledak dua gol membantu JDT menewaskan KL City FC 3-0 pada aksi liga, Rabu lalu.

Gandingan Shane Lowry dan bekas pemain import Terengganu Carli De Murga bakal menjadi taruhan skuad Harimau Selatan untuk mengemudi benteng pertahanan tatkala harus lebih konsisten menghalang asakan trio import TFC, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang mungkin akan bermati-matian ingin membolosi gawang yang akan dikawal kapten Farizal Marlias

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 12:43 PM