PEMAIN Terengganu FC dituntut memperagakan aksi terbaik menentang Negeri Sembilan FC pada perlawanan pusingan pertama Piala FA, malam esok. Foto TFC
PEMAIN Terengganu FC dituntut memperagakan aksi terbaik menentang Negeri Sembilan FC pada perlawanan pusingan pertama Piala FA, malam esok. Foto TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut anak buahnya beraksi bagaikan pentas final berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Jelas bekas penyerang Terengganu itu, keupayaan skuad Hobin Jang Hobin yang masih 'kebal' mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini selain prestasi terbaik dilakar skuad TFC dalam dua perlawanan terakhir menjadikan aksi itu pasti sengit.

Malah, jurulatih berusia 44 tahun itu tetap percaya anak buahnya mampu menggalas tugas untuk merakam kemenangan dalam aksi kalah mati itu yang sebelum ini ditunda berikutan pemain lawan dijangkiti wabak pandemik Covid-19.

Menurutnya, tiga perkara utama harus dititikberatkan pemainnya bagi memastikan misi untuk memburu kemenangan tercapai sebelum menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pusingan kedua.

"Prestasi pasukan lawan dalam saingan Liga Super cukup baik tanpa sebarang kekalahan daripada lima perlawanan, jadi saya jangkakan aksi sengit terutama peringkat kalah mati ini.

"Jadi, saya ingatkan pemain agar tidak membiarkan lawan mendominasi permainan dan kedua, perlu menyekat pergerakan dua pemain import mereka iaitu Mathieus Alves dan Adetu Kossi daripada bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti.

"Selain itu, pemain perlu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri di depan ribuan peminat setia dengan persembahan terbaik untuk memastikan kemenangan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan, malam kelmarin.

Nafuzi mengakui lega apabila penyerang importnya, Kpah Sherman dapat kembali beraksi selepas digantung satu perlawanan berikutan kad merah diterima ketika menentang Sarawak United FC, minggu lalu.

"Selain itu jentera tengah gandingan Habib Haroon dan Manuel Ott semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan, begitu juga barisan penyerang antara Sherman dan Kipre Tchetche serta pemain pertahanan diketuai Pape Diakite.

"Semua pemain tempatan berjaya memperagakan aksi terbaik dan ini sesuatu yang positif buat pasukan. Jadi, saya harap kesebelasan utama mampu menggalas tugas dengan baik untuk melangkah ke pusingan kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:38 PM