Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kiri) melepasi halangan pertahanan Caen, Jonathan Gradi dalam aksi Ligue 1, Perancis pagi ini. FOTO AFP.
Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kiri) melepasi halangan pertahanan Caen, Jonathan Gradi dalam aksi Ligue 1, Perancis pagi ini. FOTO AFP.
AFP

PARIS Saint-Germain (PSG) perlu berterima kasih kepada Kylian Mbappe apabila dua jaringan miliknya menyaksikan pendahulu Ligue 1 itu bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 berdepan pasukan bergelut, Caen awal pagi ini, dalam saingan terakhir sebelum perlawanan kelompok 16 terakhir, Liga Juara-Juara menentang Manchester United.

Selepas seminggu meraikan 50 gol dalam saingan liga teratas Perancis pada usia 20 tahun, Mbappe menjaringkan penalti buat pertama kali dalam Ligue 1 selepas hampir sejam perlawanan.

Jaringan penyamaan itu menafikan jaringan pembukaan penyerang Caen Casimir Ninga, dan Mbappe kemudiannya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87 yang juga jaringan ke-29 dalam semua kejohanan musim ini.

Daripada jumlah itu, 24 daripadanya hadir dalam liga termasuk enam daripada empat perlawanan terakhir.

Ia ialah kemenangan kelapan berturut-turut buat PSG dalam semua kejohanan dan kelebihan besar mereka berada di puncak Ligue 1 kini menjadi 20 mata sebelum pasukan tangga kedua Lille berdepan Dijon, hari ini.

“Jurulatih berkata sebelum perlawanan, kami perlu bersedia menghadapi perlawanan besar yang kami perlu menang sebelum itu,” kata Mbappe.

“Kami melalui tiga jam perjalanan dengan bas untuk sampai ke sini dan kami lakukan bukan untuk melancong – kami mahukan kemenangan, dan kini kami mahu pulang dan fokus kepada perlawanan yang sangat penting.”

Jurulatih Thomas Tuchel merehatkan beberapa pemain tonggak yang dijangka beraksi dalam kesebelasan utama menentang United di Parc des Princes, Rabu ini, dalam misi PSG mara ke peringkat seterusnya selepas menang 2-0 pada perlawanan pertama bulan lalu.

“Pasukan ini bekerja keras untuk 90 minit dan untuk menjaringkan gol lewat menjelaskan sesuatu mengenai kekuatan mentaliti pemain,” kata Tuchel.

“Sekarang kami perlu analisis kembali pasukan Manchester United. Mereka mempunyai pemain yang tertinggal dan kini mereka melakukannya dengan cara berbeza jadi kami perlu lihat apa yang perlu dilakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 10:01 AM