Pemain Chelsea, Ben Chilwell meraikan jaringannya dalam salah satu aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
Pemain Chelsea, Ben Chilwell meraikan jaringannya dalam salah satu aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
AFP

London: Ben Chilwell berkata rahsia kejayaan Chelsea adalah tidak bersifat ego dalam skuad kendalian Thomas Tuchel.

Chelsea berkunjung ke Malmo bagi aksi Liga Juara-Juara pagi esok untuk mengintai peluang layak dalam kelompok 16 terakhir.

Skuad Blues berada di tangga kedua dalam Kumpulan H selepas menang dua daripada tiga perlawanan awal mereka.

Juara Eropah itu juga berada di puncak carta Liga Perdana Inggeris ketika mereka memburu lebih banyak trofi pengiktirafan dalam musim penuh yang pertama Tuchel sebagai pengendali.

Pertahanan kiri England, Chilwell kembali mendapat tempat dalam skuad Tuchel selepas permulaan musim di bangku simpanan.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata sikap tidak pentingkan dirinya ketika beraksi sebagai pilihan kedua kepada Marcos Alonso melengkapkan skuad utama Chelsea di bawah bimbingan Tuchel.

"Ia sememangnya amat mengecewakan kerana sebagai pemain bola sepak anda mahu sentiasa bermain," kata Chilwell.

"Apabila anda mempunyai pasukan seperti kami ada di Chelsea, dengan 20, 25 pemain bertaraf dunia dan dua atau tiga bersaing dalam setiap posisi, anda harus faham anda tidak akan bermain setiap perlawanan dan hanya membantu pasukan sedia ada.

"Sudah tentu Marcos menyinar pada musim ini. Saya tahu saya harus bersabar dan menanti peluang saya. Dan saya fikir kami mempunyai kumpulan yang cukup kuat dan mempamerkan yang terbaik buat masa ini kerana tiada ego dalam pasukan ini.

"Terdapat sekumpulan pemain yang mahu berkerja keras untuk pengurus, berkerja keras buat kelab dan antara satu sama lain malah sesiapa sahaja yang mendapat peluang mereka akan bersedia."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:12 AM