BEK tengah Itali, Giorgio Chiellini menjulang trofi selepas memenangi Euro 2020. GAMBAR fail REUTERS.
BEK tengah Itali, Giorgio Chiellini menjulang trofi selepas memenangi Euro 2020. GAMBAR fail REUTERS.
Reuters

Rom: Pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini akan bersara daripada arena bola sepak antarabangsa selepas juara Eropah itu bermain aksi persahabatan menentang Argentina di Stadium Wembley, Jun depan.

Kegagalan Itali layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar mendorong pertahanan Juventus berusia 37 tahun itu untuk mempercepatkan persaraannya.

Perlawanan dengan Argentina di London, iaitu stadium menyaksikan skuad Azzurri itu menjulang Kejuaraan Eropah, Julai tahun lalu, akan menjadi aksi terakhirnya.

"Saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan semasa di Wembley nanti iaitu stadium yang menyaksikan saya di kemuncak karier apabila memenangi Euro 2020.

"Saya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada Azzurri dengan kenangan indah. Ia pasti perlawanan terakhir saya bersama Itali," katanya kepada DAZN selepas Juventus menang 2-1 di Sassuolo dalam aksi Serie A, semalam.

Berbekalkan 116 penampilan bersama skuad kebangsaan, Chiellini berkongsi tempat kelima pemain paling banyak caps bersama Itali dengan Andrea Pirlo dan ketinggalan di belakang Daniele De Rossi, Paolo Maldini, Fabio Cannavaro dan Gianluigi Buffon.

Bagaimanapun, bek tengah veteran yang masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan untuk Juventus itu, belum memutuskan sama ada mahu melanjutkan kariernya di kelab itu selepas tamat musim ini.

"Hubungan cinta saya dengan Juventus tidak akan berakhir.

"Sudah tentu, dari sekarang hingga akhir musim saya perlu menilai segala-galanya, berbincang dengan keluarga mengenai apa yang terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 3:13 PM