PEMAIN pertahanan Itali, Giorgio Chiellini (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya. FOTO EPA
PEMAIN pertahanan Itali, Giorgio Chiellini (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya. FOTO EPA
AFP

London: Giorgio Chiellini percaya sesuatu yang indah untuk menamatkan karier peringkat antarabangsa pada perlawanan persahabatan menentang Argentina di Stadium Wembley, hari ini, selepas mengetuai Itali memenangi Euro 2020 di stadium sama, tahun lalu.

Pemain berusia 37 tahun itu adalah tonggak utama sebagai kapten dan pemain pertahanan apabila Itali menewaskan tuan rumah, England menerusi penentuan penalti di final kejohanan Eropah yang tertangguh selama 12 bulan akibat Covid-19.

Kini, skuad the Azzurri akan berdepan juara benua Amerika Selatan itu pada perlawanan sulung digelar Finalissima di Wembley dan ia akan menjadi aksi ke-117 dan yang terakhir buat Chiellini.

Pengurus Itali, Roberto Mancini dijangka menurunkan beberapa bintang Euro 2020 dalam kesebelasan utama pada perlawanan dianggap 'penghujung kitaran' selepas juara empat kali itu gagal layak ke Piala Dunia di Qatar, hujung tahun ini.

Ketika ditanya mengenai aksi terakhirnya di pentas antarabangsa pada perlawanan menentang Argentina, Chiellini memberitahu UEFA.com: "Ia memang indah."

"Argentina memiliki pemain hebat. Sudah tentu pemain pertama terlintas dalam fikiran adalah (Lionel) Messi, tetapi pemain disekelilingnya juga hebat, Mereka bukan menang Copa America secara tidak sengaja.

"Messi adalah ikon bola sepak. Tidak salah jika saya katakan dia adalah pemain terbaik sepanjang zaman. Satu penghormatan dan kepuasan bagi saya apabila bermain perlawanan terakhir untuk Itali dengan menentangnya.

"Tak syak lagi, ia akan lebih baik berbanding apa yang saya bayangkan. Ketika kecil, anda berangan untuk bermain dengan pasukan kebangsaan kerana itu adalah kemuncaknya.

"Dapat bermain lebih 100 perlawanan dalam tempoh 18 tahun, menjadi kapten dan menjulang piala penting seperti di Wembley tahun lalu adalah pelengkap kejayaan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 9:21 AM