BONUCCI meraikan kemenangan Itali. FOTO AFP
BONUCCI meraikan kemenangan Itali. FOTO AFP
Agensi

London: Leonardo Bonucci menyifatkan kemenangan ke atas Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2020 adalah perlawanan paling sukar dalam kariernya dan menggesa rakan sepasukan menyudahkan misi mereka dengan menjulang trofi.

Azzurri menewaskan Sepanyol 4-2 menerusi penentuan penalti dalam aksi sengit di Wembley selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa tambahan.

Pemain gantian Alvaro Morata menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 10 minit selepas rembatan lencung Federico Chiesa meletakkan Itali di depan. Namun dia gagal menyempurnakan penalti penting sebelum Jorginho membawa Azzurri ke final ketiga kejohanan sejak menjuarainya pada 1968.

Itu satu-satunya trofi Eropah terakhir milik juara dunia empat kali itu dan pemain pertahanan veteran Bonucci tekad mengakhiri kemarau 53 tahun ketika menentang England atau Denmark di final.

"Ini aksi paling sukar pernah saya harungi,'' kata Bonucci yang menyamai rekod penampilan 17 kali di Kejohanan Eropah milik Gianluigi Buffon.

"Tahniah kepada Sepanyol dengan apa yang mereka pamerkan tetapi sekali lagi Itali menunjukkan kesungguhan dan semangat juang tinggi. Kemenangan sukar ini pasti diingati.

"Kami kini hanya tinggal 1 sentimeter lagi untuk menjadi juara. Memang menakjubkan dengan mara sejauh ini tetapi kami tidak boleh berpuas hati.

"Kami berada di final, hanya lima hari lagi. Kami perlukan 'nafsu' yang sama dan semangat perjuangan untuk membawa pulang trofi selepas sekian lama."

Itali akan beraksi di final kejohanan utama buat kali ke-10. Hanya Jerman (14) dalam kalangan pasukan Eropah yang mengatasi rekod itu. Itali juga melebarkan rekod tanpa kalah kepada 33 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:48 AM