Chiellini akan meninggalkan Juventus dan Itali. -FOTO EPA
Chiellini akan meninggalkan Juventus dan Itali. -FOTO EPA
AFP

Rom: Perlawanan terakhir Giorgio Chiellini untuk Itali menentang Argentina minggu depan adalah peluang untuk mengucapkan terima kasih terhadap khidmatnya selama 18 tahun bersama skuad kebangsaan, kata jurulatih Roberto Mancini.

Chiellini mengumumkan akan meninggalkan kelab Juventus dan persaraannya daripada peringkat antarabangsa pada penghujung musim ini namun menurut beberapa laporan media pemain berusia 37 tahun itu boleh terus bermain untuk Amerika Utara.

Perlawanan 'Finalissima' di Wembley akan menjadi penampilan antarabangsa Chiellini yang ke-117 untuk juara Eropah itu.

"Dia membuat pilihan dan pilihan mesti dihormati. Saya akan bercakap dengannya untuk mengucapkan terima kasih, ia adalah perkara biasa baginya untuk mengambil laluan lain," kata Mancini pada sidang media sebelum kem latihan Itali.

Pemain pertahanan itu memenangi pingat gangsa ketika Olimpik 2004 bersama Itali sebelum dipanggil untuk menyertai skuad senior yang dikendalikan oleh Marcello Lippi pada November tahun yang sama menentang Finland.

18 tahun kemudian dia adalah antara kumpulan 45 pemain yang dipanggil oleh Mancini pada Jun.

Itali akan berdepan juara Copa America, Argentina di London pada Rabu ini pada perlawanan semula membabitkan juara Eropah dan Amerika Selatan itu.

Itali kemudiannya akan menentang Jerman sebanyak dua kali, Hungary dan England dalam aksi Liga Negara-Negara.

Mancini menegaskan hanya Chiellini yang akan bersara daripada pasukan Azzurri biarpun Itali terlepas Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

"Ada yang mungkin akan bermain perlawanan terakhir mereka musim ini (menentang Argentina) dan pulang kerana kami perlu membuat pilihan tetapi tiada siapa yang sebaya dengan Giorgio," kata Mancini.

"Kami perlu bermula semula, penyokong masih ada di belakang kami walau apa yang berlaku."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 8:27 AM