Milan: Croatia melebarkan rekod tanpa kalah kepada tujuh perlawanan sepanjang aksi menentang Itali apabila mengikat pasukan Azzurri 1-1 pada kempen kelayakan Euro 2016, awal pagi semalam.

Aksi itu turut dicemari insiden pada 10 minit terakhir apabila penyokong pelawat membaling suar ke arah penjaga gol tuan rumah, Gianluigi Buffon.

Itali yang kali terakhir menewaskan Croatia pada 1942 (ketika menjadi sebahagian daripada Yugoslavia) mendahului selepas 11 minit apabila hantaran Simone Zaza disambut Antonio Candreva yang menewaskan penjaga gol Croatia, Danijel Subasic.

Bagaimanapun, Croatia menyamakan kedudukan pada minit ke-15 apabila pemain tengah Wolfsburg, Ivan Perisic menewaskan Buffon.

Croatia tersentak apabila Luka Modric terpaksa dikeluarkan 30 minit selepas perlawanan berlangsung dan digantikan dengan pemain perancang Inter Milan, Mateo Kovacic.

Pasukan pelawat tetap memberi tentangan walaupun ketiadaan pemain tengah Real Madrid itu dan hampir menambah jaringan 10 minit sebelum tamat permainan, namun percubaan Perisic sedikit tersasar.

Croatia kekal mendahului Kumpulan H manakala Itali kekal di tempat kedua dan masih gagal menumpaskan musuh mereka itu selepas tujuh perlawanan.

Bagaimanapun tindakan liar penyokong negara Balkan itu dengan budaya mereka yang sering membawa suar ketika perlawanan, menyebabkan jurulatih Croatia Niko Kovac tampil memohon maaf.

“Saya mahu minta maaf dengan apa yang dilakukan penyokong kami. Ada kanak-kanak di stadium. Ini bukan bola sepak dan ia tidak menggambarkan imej negara atau rakyat kami. Kami minta maaf dan kecewa dengan apa yang berlaku,” kata bekas ketua pasukan Croatia itu.

Jurulatih Itali Antonio Conte turut terpanggil memberi kenyataan terhadap insiden berkenaan, tetapi mengakui cabaran besar buat pasukan Azzurri adalah untuk menyekat pemain Croatia.

“Saya rasa keputusan untuk berhenti dan menyambung semula permainan itu tepat, tapi tetap gagal memperbaiki imej perlawanan.

“Croatia pasukan yang kuat, mereka melakukan persiapan dengan baik dan mempunyai pemain individu yang bagus serta beraksi pada tahap terbaik. Mereka menyukarkan kami. Bagaimanapun saya gembira dengan persembahan kami,” kata Conte. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:05 AM