BADRUL ceria selepas pasukannya merakam kemenangan menumpaskan Kelantan United FC. -FOTO Malik Muhamad
BADRUL ceria selepas pasukannya merakam kemenangan menumpaskan Kelantan United FC. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali menyifatkan anak buahnya mempunyai semangat kental ketika menumpaskan Kelantan United FC (KUFC) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Kemaman itu berkata, walaupun hanya merakam kemenangan tipis 1-0, namun ianya begitu bermakna selepas pasukannya tumpas kepada PDRM FC 2-1 minggu lalu.

Malah bekas pemain tengah Terengganu itu memuji komitmen dan persembahan anak buahnya termasuk pemain mudanya yang berjaya memperagakan aksi cemerlang biarpun bermain pada bulan puasa.

Bagaimanapun jurulatih berusia 46 tahun itu akui ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera terutama jentera tengah yang sedikit lambat membantu barisan penyerang.

"Secara keseluruhan saya menarik nafas lega melihat aksi bertenaga dan tidak putus asa pemain walaupun gerakan untuk memburu jaringan kerap kali dipatahkan pihak lawan yang kental bertahan.

"Tahniah buat mereka yang kembali ke landasan kemenangan untuk mengutip tiga mata lagi selepas tiga perlawanan, ini permulaan yang positif buat pasukan.

"Namun untuk melangkah lebih jauh masih ada 'homework' yang perlu diperkemaskan lagi di semua posisi," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Pada aksi itu, penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah muncul wira pasukannya apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak pertama sekali gus membantu pasukan menghuni di tangga keempat liga dengan mengutip enam mata.

Sementara itu pengendali KUFC, Syamsul Mohd Saad mendedahkan ketiadaan dua pemain tonggaknya kerana mengalami kecederaan menjejaskan perancangannya dalam perlawanan itu.

"Ketiadaan Amidu Salifu dan Haziq Subri di posisi tengah merencatkan perancangan kami, situasi ini ditambah dengan faktor keletihan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:16 PM