Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Kelantan United FC (KUFC), Tomas Trucha 'naik angin' dengan prestasi anak buahnya yang membenarkan dua gol awal kepada Terengganu FC (TFC) sekali gus menyaksikan pasukannya gagal mengutip sebarang mata pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak malam tadi.

Malah lebih mengecewakan pengendali berusia 51 tahun kelahiran Republik Czech itu apabila pasukannya belum lagi merasai nikmat kemenangan setakat ini selain kekal menghuni di tangga tercorot liga dengan mengutip satu mata selepas enam perlawanan.

Bagaimanapun Trucha enggan menyalahkan 100 peratus anak buahnya sebaliknya akui pemainnya sudah berusaha keras terutama pada babak kedua untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan, namun nasib tidak menyebelahi pasukannya selepas tumpas 1-2 kepada pasukan jiran itu.

"Perasaan saya bercampur selepas kami gagal mengutip sebarang mata pada aksi malam ini (malam tadi), saya marah kerana pemain kami bagaikan membenarkan lawan menguasai dalam kawasan gol sehingga berjaya menjaringkan dua gol awal pada babak pertama.

"Selepas ketinggalan dua jaringan itu, pemain kami bekerja keras untuk bangkit mencari jaringan terutama pada babak kedua, kami memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol selepas membuat empat pertukaran sekali gus pada awal separuh masa kedua.

"Namun kami tetap kehilangan mata selepas hanya mampu menjaringkan satu gol, dalam bola sepak kita perlu lebih banyak menyerang dan perlu lebih agresif selain menyekat serangan lawan, saya tidak menyalahkan mereka 100 peratus, mereka sudah berusaha untuk bangkit dengan aksi lebih baik pada babak kedua, tapi nasib tidak menyebelahi kami.

"Justeru pertemuan ketujuh menentang Kuching City FC (KCFC) pada Rabu ini, ada banyak kerja rumah yang perlu dilakukan bagi memastikan pasukan mampu melakar kemenangan pertama selain memperbaiki kedudukan liga sekarang.

"Kita tidak rela kempunan lagi, harap pemain mampu bangkit berdepan skuad itu nanti," kata Trucha selepas berakhir perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi membuka 'akaun' jaringan pertamanya musim ini pada minit kelima sebelum penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah juga membuka akaun pertamanya pada minit ke-28 manakala pemain import pelawat, Jose Porteria berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-76.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 3:50 PM
TRUCHA pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
TRUCHA pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI