Zubir Azmi ketika berlatih bersama skuad Kelantan FC.
Zubir Azmi ketika berlatih bersama skuad Kelantan FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengesahkan terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan, Zubir Azmi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament ( ACL).

Jelasnya, kehilangan pemain pertahanan berpengalaman itu cukup dirasai ketika skuad The Red Warriors (TRW) serius mahu mencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini.

"Zubir belum berkesempatan beraksi lagi sepanjang musim ini selepas mengalami kecederaan pada sesi latihan.

"Kehilangannya pasti dirasai kerana dia antara pemain penting dalam pasukan tetapi saya harap dia sempat pulih untuk beraksi di penghujung musim ini.

"Buat masa ini, tanggungjawab ketua pasukan saya serahkan kepada seorang lagi pemain pertahanan, Yusri Yushamadi, " katanya.

Sebelum ini, TRW mengumumkan sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan dengan wajib menamatkan kedudukan di tangga pertama selaku juara Liga Perdana atau sekurang-kurangnya tempat kedua untuk naik ke divisyen pertama.

Untuk itu, Kelantan tampil lebih ampuh pada musim ini apabila mempertaruhkan kombinasi pemain berpengalaman dan tonggak muda serta import yang lebih berkualiti.

Ketika ini, skuad kendalian Rezal memimpin carta Liga Perdana selepas membuka tirai liga dengan langkah kanan apabila menewaskan JDT II, 2-1 di Stadium Larkin, pada 5 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 4:40 PM