Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor  memakai jubah kepada Yang Dipertua PAS Langkawi Zubir Ahmad dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Never (DUN) Kedah yang ke-15 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memakai jubah kepada Yang Dipertua PAS Langkawi Zubir Ahmad dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Never (DUN) Kedah yang ke-15 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu daripada PAS menamatkan pertikaian dalaman parti itu pada pemilihan calon ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Menurutnya, pelantikan Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad bagi menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Juhari Bulat daripada BERSATU dibuat bagi menyelesaikan krisis yang timbul.

"Itulah penyelesaiannya, sudah selesai Alhamdulillah. Adakah pelantikan Speaker itu ada kaitan dengan isu ketika PRN? Ada tetapi sudah dapat diselesaikan.

"Itulah penyelesaiannya (secara) harmoni. Tak ada berbangkit isu lagi. Semua benda atas dunia ini kecuali mati, tak ada yang boleh selesai, ini semua boleh selesai," katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut menjelaskan bahawa pelantikan Zubir dilihat tepat memandangkan beliau berpengalaman luas dan sudah lama menceburi bidang politik.

"Zubir daripada Langkawi. Orang lama dalam politik ini. Saya ingat, saya masuk politik dia ada dah. Begitu lama, panjang pengalaman dia dalam politik ini.

"Saya tak rasa dia akan menghadapi masalah untuk menjalankan tugas sebagai speaker dan kita ada juga orang yang berpengalaman iaitu ADUN Sungai Tiang (Abdul Razak Khamis sebagai Timbalan Speaker), juga orang lama dalam parti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan berlaku pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) di Langkawi ketika PRN lalu, bagi kerusi DUN Ayer Hangat apabila BERSATU didakwa tidak mengotakan janji untuk memberikan kerusi itu kepada calon PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 2:43 PM