Khairul Helmi Johari
Khairul Helmi Johari
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengalaman bekas pertahanan Kedah dan Melaka United, Khairul Helmi Johari bakal menjadi taruhan terbaik dalam memastikan benteng Kelantan FC tampil ampuh sepanjang saingan Liga Perdana musim ini.

Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, pemilihan Khairul Helmi atau lebih dikenali dengan panggilan Keon itu disifatkan tepat untuk memberi keseimbangan dalam pasukan.

Jelasnya, pengalaman luas pemain berusia 33 tahun itu turut mampu dikongsikan bersama tonggak muda sekali gus berusaha mencapai sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan.

"Untuk saya pemilihan Keon penting untuk pasukan kerana dia seorang pemain berpengalaman… pernah memenangi piala dalam saingan liga kita ini.

"Jadi pengalaman dia itu akan membantu pemain-pemain kita. Sudah tentu dari segi pengalaman, dia akan bantu kita dan saya percaya kemampuannya," kata Rezal pada majlis menandatangani kontrak pemain The Red Warriors (TRW) untuk musim 2022 ini.

Selain itu, Rezal yang juga bekas pemain kebangsaan mengakui tugas untuk melayakkan diri ke Liga Super bukanlah misi yang mudah namun beliau yakin anak didiknya mampu menyahut cabaran itu.

Tegasnya, pemain diingatkan untuk sentiasa fokus dan bersedia mencapai sasaran muncul dua pasukan terbaik dalam Liga Perdana musim ini.

"Kita nak langkah ke Liga Super musim depan, dan saya sangat berpuas hati dengan pemilihan pemain.

"Saya tidak melihat hanya 11 pemain sahaja tetapi keseluruhan pemain. Apa yang penting pemain-pemain saya sedia mengharungi cabaran musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:06 PM