SHUKOR (kiri) percaya aksi liga musim ini akan lebih mendebarkan dengan persiapan mantap kebanyakkan pasukan. -Foto BERNAMA
SHUKOR (kiri) percaya aksi liga musim ini akan lebih mendebarkan dengan persiapan mantap kebanyakkan pasukan. -Foto BERNAMA
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Bekas ketua pasukan kebangsaan, Shukor Adan menganggap perebutan saingan Liga Super musim ini bakal berlangsung sengit dengan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan tugas sukar untuk mempertahankan trofi berkenaan buat kali keenam berturut-turut.

Jelas tonggak pertahanan tengah itu, berdasarkan persiapan sebahagian besar pasukan khususnya pasukan berstatus negeri menyaksikan mereka membuat persiapan terbaik termasuk mengadakan latihan pramusim di luar negara selain mengambil tenaga import yang berkualiti tinggi.

Justeru, ketua pasukan Melaka United (MU) itu percaya perebutan takhta Liga Super lebih sengit dan hebat jika dibandingkan musim lalu.

“Kita dapat lihat betapa serius pasukan negeri antaranya Terengganu, JDT, Selangor dan MU sendiri sibuk menguruskan persiapan dan persediaan terbaik mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan di luar negara bagi menghadapi musim baharu.

“Biarpun sebahagian besar pasukan ini sebenarnya berusaha untuk mengurangkan kos dengan menghadkan dana pada musim ini, tetapi mereka masih berupaya menyediakan persiapan terbaik untuk pasukan masing-masing.

“Saya fikir musim baharu ini akan menjadi titik kebangkitan pasukan-pasukan negeri. Malah, Pahang sendiri membawa pulang bekas pemainnya, Dickson Nwakaeme di mana ia menunjukkan mereka juga serius untuk merebut kejuaraan Liga Super.

“Malah, pemain ternama tempatan juga lebih ramai beraksi di Liga Super yang mana taburan pemain lebih seimbang dalam Liga Super dan Liga Perdana musim lalu. Jadi saya fikir persaingan kali ini akan menjadi lebih sengit jika dibandingkan musim lalu,” katanya.

Sementara itu, Shukor mengakui berasa terharu selepas diberikan amanah dan penghormatan untuk menjadi ketua pasukan MU meskipun skuad itu turut menghimpunkan tiga lagi bekas ketua pasukan lain seperti Safiq Rahim (JDT), Razman Roslan (Selangor) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).

“Secara peribadi, saya menganggap kehadiran Safiq, Razman, Khairul Fahmi dan pemain-pemain yang memiliki pengalaman menjadi kapten akan dapat membantu membentuk persefahaman pasukan dengan lebih baik,” kata bekas pemain FELDA United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 5:29 PM