KIM Swee bercakap ketika pengumuman Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM. FOTO Asyraf Hamzah
KIM Swee bercakap ketika pengumuman Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM. FOTO Asyraf Hamzah
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penolong Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee menyerahkan masa depannya kepada pengurusan tertinggi badan induk itu selepas khidmatnya akan berakhir hujung bulan ini.

Malah, bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu juga turut menyerahkan keputusan kepada FAM yang dikhabarkan bakal dilantik selaku Pengarah Teknikal baharu bagi menggantikan tempat Peter de Roo.

De Roo yang mula bersama FAM pada 2017 difahamkan membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak jawatan berkenaan yang akan tamat hujung bulan ini.

"Saya rasa itu terpulang (melantik beliau sebagai pengganti De Roo) kepada pihak pengurusan, saya mempunyai kontrak sebagai Penolong Pengarah Teknikal sehingga hujung tahun ini.

"Apa keputusan yang dibuat pihak persatuan saya akan terima. Terpulang kepada persatuan dan juga tawaran-tawaran yang akan datang," katanya yang pernah menghadiahkan pingat emas Sukan Sea di Indonesia ketika membimbing skuad bawah 23 tahun negara pada 2011 lalu.

Mengulas mengenai pelantikan Yusri Che Lah sebagai pengendali skuad Projek FAM-MSN yang akan beraksi di Liga Perdana musim depan, beliau yakin Yusri calon terbaik untuk melatih pasukan muda itu.

Katanya, berdasarkan rekod sebelum ini, bekas pengendali Kelantan dan Kuala Lumpur itu cukup cemerlang membimbing pasukan berkenaan di kancah Liga Malaysia dengan berani memberi peluang kepada pemain muda.

"Sesiapa pun yang menjadi jurulatih, bagi pihak FAM dan MSN (Majlis Sukan Negara) ini dipilih secara kolektif.

"Kita tahu pelantikan Yusri bukan sahaja hanya pelantikan biasa, kita tahu Yusri mempunyai pengalaman luas sebelum ini dengan pemain-pemain muda dan kita dapat lihat dari segi statistik di mana Yusri menurunkan ramai pemain-pemain muda ketika beliau bersama Kelantan mahupun pasukan Kuala Lumpur.

"Saya rasa pemilihan yang cukup tepat, Yusri mempunyai pengalaman, bukan sahaja sebagai jurulatih dan juga sebagai pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:19 PM