FAISAL tidak akan melepaskan peluang beraksi di pentas luar negara. FOTO MALIK MUHAMAD
FAISAL tidak akan melepaskan peluang beraksi di pentas luar negara. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Abdul Halim tidak mahu melepaskan peluang beraksi di luar negara jika sekiranya mendapat tawaran daripada kelab yang mahukan khidmatnya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 23 tahun itu menjelaskan peluang itu mampu mengembangkan lagi karier bola sepaknya di pentas antarabangsa sekali gus ia memberi keuntungan buat skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' itu masih belum mendapat gambaran terperinci berhubung perkara itu walaupun sudah dihubungi ejen berkenaan selepas beraksi cemerlang bersama kem kebangsaan pada aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan minggu lalu.

"Saya ada dihubungi ejen, tapi sejujurnya saya tidak mendapat gambaran secara lebih terperinci lagi mengenai perkara itu.

"Tapi jika itu rezeki saya, sudah tentu saya tidak akan menolak tawaran berkenaan untuk berkelana di luar negara kerana ia boleh mengembangkan lagi karier bola sepak saya," katanya.

Mengulas lanjut, bekas pemain Sri Pahang FC musim lalu itu menjelaskan tumpuannya kini adalah untuk membantu pasukannya merakam kejayaan yang bermakna dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Selain itu katanya, fokusnya juga mahu mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan bagi memastikan namanya tersenarai dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal beraksi pada saingan Piala AFF Suzuki 2020 pada hujung tahun ini dan kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.

"Buat masa ini fokus saya adalah untuk membantu pasukan TFC merakam kejayaan dalam kancah Piala Malaysia terlebih dahulu, selepas itu baharulah saya fikirkan mengenai tawaran itu lebih-lebih lagi keluarga, rakan-rakan dan peminat sentiasa memberikan sokongan selain mendoakan ia menjadi kenyataan," katanya.

Terdahulu pemain berketinggian 1.58 meter itu yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah 20 dan 23 Tahun mendapat perhatian selepas agennya, Estrada Sports dihubungi ejen dari luar negara yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Jika menjadi kenyataan, Faisal yang mengikat kontrak bersama TFC sehingga 2022 adalah pemain pertama daripada pasukan itu mewakili kelab di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 12:47 PM