FAISAL adalah pemain penting buat pasukan Selangor. FOTO Bernama
FAISAL adalah pemain penting buat pasukan Selangor. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harga jutaan ringgit perlu dibayar bagi mendapatkan khidmat pemain Selangor FC, Faisal Halim jika ada pihak yang berminat dengan tonggak lincah itu.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon buat pasukan yang mahukan khidmat Faisal.

Katanya, pemain kebangsaan itu adalah tonggak utama Red Giants dan tidak mudah buat pasukan itu untuk melepaskan Faisal.

Ujarnya, nilai sebenar pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kelab dengan beliau tidak menolak kemungkinan harga tebus kontrak itu bernilai jutaan ringgit.

"Kita belum mendapat sebarang surat daripada mana-mana kelab atau ejen. Tetapi, apabila surat diterima kita akan pertimbangkan sewajarnya. Sekarang ini ia sekadar spekulasi.

"Soal ini (harga Faisal) perlu dibawa ke jawatankuasa teknikal dan ahli lembaga pengarah dan ia hanya boleh dibincangkan apabila sudah ada tawaran.

"Namun, Faisal adalah pemain penting buat pasukan, jadi kita tengok apa tawaran yang masuk. Buat masa ini belum ada lagi," katanya.

Untuk rekod, Selangor FC pernah meletakkan tanda harga pada bekas pemainnya, Syahmi Safari dengan nilai RM6 juta.

Kemungkinan tanda harga sama turut diletakkan kepada semua pemain Selangor dan ini bermakna, pihak yang mahukan Faisal perlu menyediakan jutaan ringgit bagi mendapatkan khidmatnya.

Sebelum ini pada 27 Februari lalu, Arena Metro pernah melaporkan ejen bola sepak dari Korea Selatan, Myeongho Jeong mahu membawa pemain Malaysia ke Liga Korea Selatan untuk beraksi di negara itu.

Kini, difahamkan Faisal adalah sasaran utama selepas keinginan untuk membawa pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi ke Korea Selatan dilihat sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 7:48 PM