FAISAL dikatakan dirisik kelab dari luar negara. FOTO TFC
FAISAL dikatakan dirisik kelab dari luar negara. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Walaupun sehingga kini belum ada lagi mana-mana kelab dari luar negara menghubungi pihak pengurusan untuk membincangkan mengenai kontrak pemain kami (Faisal Abdul Halim), tapi kami menanti dengan penuh sabar.

"Malah kami sedia lepaskan pemain itu jika sekiranya ada kelab yang betul-betul serius mahukan khidmatnya," demikian reaksi Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berhubung status terkini pemain berkenaan.

Minggu lalu pemain sayap skuad Penyu berusia 23 tahun itu mencuri tumpuan peminat bola sepak negara apabila ada ejen dari Sepanyol dan Portugal dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun sehingga kini pihak pengurusan TFC belum mendapat gambaran terperinci berhubung perkara itu, malah kelab itu juga belum dihubungi mana-mana kelab dari luar negara yang dikhabarkan berminat untuk mengikat pemain Harimau Malaya itu yang lebih mesra dipanggil 'Mickey'.

"Situasi sekarang pemain itu (Faisal) masih milik TFC, ini kerana selepas lebih seminggu berita berkenaan pemain itu dikatakan dirisik ejen kelab luar negara tersebar, sehingga kini belum ada lagi ejen dari luar negara yang datang ataupun hubungi pihak pengurusan untuk berbincang mengenai kontrak pemain itu.

"Kami bagi pihak pengurusan menerima berita itu dengan penuh kegembiraan sekiranya benar-benar terjadi, walaupun Mickey masih mempunyai kontrak sehingga tahun depan, kami tidak akan teragak-agak untuk lepaskan pemain itu demi perkembangan kerjayanya dan pasukan negara biarpun dia salah seorang pemain tonggak kami.

"Lagipun peluang untuk mencipta nama di luar negara bukannya mudah dan itu peluang terbaik buatnya dan mungkin juga kepada pemain lain yang bercita-cita beraksi di pentas antarabangsa.

"Bagaimanapun ejen luar berkenaan perlu bersedia memenuhi terma kontrak jika berhajat untuk mendapatkan pemain sayap itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu bakat yang dimiliki pemain berketinggian 1.58 meter itu yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah 20 dan 23 Tahun mendapat perhatian selepas ajennya, Estrada Sports memaklumkan dihubungi dua ejen dari luar negara yang berminat untuk mendapatkan khidmat Faisal selepas memperagakan aksi bertenaga ketika mewakili negara pada aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman dua minggu lalu.

Bekas pemain Sri Pahang FC musim lalu itu juga sebelum ini menyatakan dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu sekiranya diberi peluang menyarung jersi kelab luar negara kerana ia mampu mengembangkan lagi karier bola sepaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:23 PM