Pemain sayap TFC, Mohd Faisal Abdul Halim belum menerima tawaran beraksi di luar negara. FOTO Ghazali Kori
Pemain sayap TFC, Mohd Faisal Abdul Halim belum menerima tawaran beraksi di luar negara. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain lincah Terengganu FC (TFC), Mohd Faisal Halim menjelaskan setakat ini tiada lagi perkembangan terkini daripada mana-mana ejen berhubung tawaran kontrak beraksi di luar negara.

Pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' berkata, jika mana-mana kelab luar negara betul-betul serius untuk mendapatkan khidmatnya, sudah pasti akan ada tindakan susulan.

"Bagaimanapun sehingga kini tiada tawaran atau tindakan susulan daripada mana-mana ejen atau kelab berhubung perkara itu.

"Jadi saya tidak lagi memikirkannya, sebaliknya fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan TFC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Apabila tamat kontrak bersama pasukan itu pada hujung tahun ini, baharulah saya memikirkan semula sama ada untuk beraksi bersama kelab di luar negara atau sebaliknya, itupun jika ada tawaran.

"Lagipun tawaran daripada kelab di Portugal tahun lalu saya fikirkan bukan 100 peratus serius, memang ada ejen hubungi saya, tapi bukan ejen kelab berkenaan, lagipun tiada jalan penyelesaian dan kata putus, maknanya pihak berkaitan kelab itu tidak begitu serius untuk mendapatkan khidmat saya.

"Jadi saya rumuskan tiada lagi tawaran untuk saya kembangkan karier di luar negara setakat ini, lagipun dengan TFC saya tidak ada masalah untuk kembangkan karier di sini," katanya ketika ditemui.

Musim lalu, pemain kebangsaan itu mendapat perhatian media tempatan apabila dua ejen dari Liga Sepanyol dan Portugal menghubungi ejen Mohd Faisal selepas berminat dengan corak permainan pemain itu ketika mewakili skuad kebangsaan pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman, Oktober, tahun lalu.

Ketika ditanya sasarannya musim ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata, impiannya sekurang-kurangnya untuk membantu pasukan meraih satu piala kejuaraan.

"Inilah sasaran saya sejak menyarung jersi skuad TFC bermula musim lalu, saya harapkan dengan kehadiran pemain import dan tempatan yang berkualiti, skuad kami mampu mendakap satu piala musim ini," katanya yang menjelaskan tidak akan 'menutup pintu' untuk membuat penampilan di luar negara jika ada tawaran.

Dalam saingan Liga Super musim lalu, bekas pemain Sri Pahang FC itu meledak empat gol sepanjang 22 penampilan manakala dalam pentas Piala Malaysia, pemain berketinggian 1.58 meter menjaringkan enam gol untuk membantu pasukannya layak ke peringkat separuh akhir sebelum tumpas kepada Johor Darul Tazim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:43 PM