NORDE (tengah) hampir pasti sarung jersi TFC musim depan. FOTO  MUFC
NORDE (tengah) hampir pasti sarung jersi TFC musim depan. FOTO MUFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kelahiran Haiti, Sony Norde hampir pasti bakal menyarung jersi Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber TFC, pemain berusia 33 tahun itu yang beraksi bersama pasukan Melaka United FC (MUFC) musim ini difahamkan sudah bersetuju menabur bakti bersama skuad Penyu pada musim depan.

Katanya, pemain sayap lincah itu berada dalam perancangan pasukan yang bakal beraksi di pentas Asia dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan selain Liga M walaupun beberapa pasukan dalam dan luar negara turut berminat mendapatkan khidmatnya.

"Pemain itu (Norde) berada dalam perancangan pasukan bagi mengharungi saingan Liga M selain TFC bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan.

"Setakat ini semua perbincangan berakhir dengan keputusan positif kerana pemain berketinggian 1.78 meter itu berminat menyarung jersi TFC walaupun mendapat tiga lagi tawaran daripada Sabah FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

"Jika tiada sebarang masalah dan semuanya selesai, kini hanya menunggu masa mengumumkan bekas pemain kebangsaan Haiti Bawah 23 Tahun dan skuad senior negara berkenaan bersama TFC.

"Kita harap kehadiran pemain pernah beraksi dengan sepuluh kelab lain sebelum ini mampu memantapkan lagi pasukan dalam misi memburu kejuaraan selepas gagal merangkul sebarang trofi pada musim ini," jelas sumber itu.

Berdasarkan rekod, pemain yang memulakan kariernya bersama Akademi Boca Juniors itu menyarung jersi MUFC pada 2020 dan sepanjang 45 penampilannya bersama skuad Hang Tuah, dia berjaya meledak tujuh gol.

Kehadiran pemain lincah itu sudah pasti bakal menambah sengat terutama di bahagian tengah Gergasi Pantai Timur itu yang dijangka bakal berubah wajah terutama selepas 'ayam tambatannya' Faisal Halim sah meninggalkan pasukan selain jurulatih, Nafuzi Zain yang dikatakan berhijrah bersama pasukan Utara tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 2:13 PM