BEK kiri Itali, Leonardo Spinazzola menahan kesakitan ketika diusung keluar padang pada perlawanan suku akhir Euro 2020 menentang Belgium. FOTO EPA
BEK kiri Itali, Leonardo Spinazzola menahan kesakitan ketika diusung keluar padang pada perlawanan suku akhir Euro 2020 menentang Belgium. FOTO EPA
AFP

Rome: Bek kiri Itali, Leonardo Spinazzola disahkan mengalami masalah tendon Achilles koyak ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Belgium di suku akhir Euro 2020, kata Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), hari ini.

"Ujian dijalankan di Hospital Sant'Andrea mengesahkan tendon Achilles kirinya koyak," kata FIGC dalam satu kenyataan, sambil menegaskan pemain itu akan kembali ke kelabnya, AS Roma.

Berdasarkan laporan media Itali, pemain berusia 28 tahun itu yang cedera pada hari ketibaan jurulatih baharu Roma, Jose Mourinho, akan dibedah di Finland dalam masa terdekat.

Ketiadaan pemain itu satu kehilangan besar buat Itali yang akan beraksi di separuh akhir Kejuaraan Eropah menentang Sepanyol, Selasa ini.

Spinazzola, yang mengalami kecederaan lutut serius tiga tahun lalu, meninggalkan kem skuad Itali di Florence dengan mendapat tepukan gemuruh rakan sepasukan dan pengurusan.

"Malangnya, semua tahu apa yang berlaku, tetapi impian kami akan diteruskan. Bersama kumpulan hebat ini, tiada yang mustahil," tulis Spinazzola di Instagram.

"Saya pasti akan kembali dalam masa terdekat. Saya yakin dengan keadaan itu."

Tempat Spinazzola dijangka disi pemain Chelsea, Emerson Palmieri apabila Itali turun ke separuh akhir menentang Sepanyol di London, Selasa ini dan memburu gelaran Eropah pertama sejak 1968.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:56 AM