HUSSEIN Omar (depan, dua kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
HUSSEIN Omar (depan, dua kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sembunyi dadah dalam guni berisi tanah sebelum dihantar kepada pelanggan menggunakan khidmat kurier.

Itu antara modus operandi sindiket dadah yang berjaya dibongkar polis menerusi beberapa serbuan dan tangkapan bermula 27 Jun lalu hingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat individu termasuk suami isteri berusia 34 hingga 48 tahun yang berperanan sebagai `penghantar' dadah diberkas.

Katanya, turut dirampas adalah pelbagai dadah seperti syabu, heroin dan ganja seberat 88.38 kilogram bernilai RM1.97 juta.

"Berdasarkan siasatan, pasangan suami isteri ditahan itu bekerja sebagai penghantar barang kepada sebuah syarikat kurier.

"Mereka menggunakan lori sebagai pengangkutan bagi membawa tujuh guni plastik berisi tanah.

Di dalam guni itu tersembunyi 56 bungkusan teh cina berisi syabu seberat 57.6 kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati penghantaran itu adalah kali pertama dilakukan pasangan terbabit dan mereka dibayar sebanyak RM51.

Jelasnya, pasangan itu diarahkan mengambil guni tanah berkenaan dari Serdang Jaya untuk dihantar ke Puchong Jaya menerusi aplikasi kurier.

"Polis masih menyiasat jika pasangan itu mengetahui berhubung keberadaan dadah dalam guni yang mereka bawa," katanya.

Hussein menjelaskan, bagi dua lagi individu `penghantar' dadah termasuk seorang tukang masak didapati sudah aktif melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lalu.

"Tukang masak berusia 34 tahun itu ditahan bersama 26 ketulan mampat dipercayai ganja manakala seorang lagi individu berusia 48 tahun ditahan bersama 4.4 kilogram dadah dipercayai heroin.

"Kesemua dadah yang dibawa empat suspek itu adalah bagi pasaran di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau menegaskan, semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:28 PM