BEK kiri Itali, Leonardo Spinazzola terbaring menahan kesakitan pada perlawanan menentang Belgium, semalam. FOTO AFP
BEK kiri Itali, Leonardo Spinazzola terbaring menahan kesakitan pada perlawanan menentang Belgium, semalam. FOTO AFP
AFP

Munich: Lorenzo Insigne berkata, pemain Itali akan memburu kejuaraan Euro 2020 untuk dihadiahkan kepada bek kiri, Leonardo Spinazzola, yang terkeluar daripada kejohanan kerana cedera tendon Achilles ketika menewaskan Belgium di suku akhir, semalam.

Spinazzola, 28, diusung keluar pada minit ke-79 dan dijangka tidak dapat beraksi selama beberapa bulan.

"Ia kehilangan besar buat kami. Kami kini mahu melangkah sejauh mungkin untuknya. Dia amat penting untuk pasukan ini," kata Insigne, yang menjaringkan gol kedua menarik ketika menang 2-1 di Munich.

"Kami akan melakukan segalanya untuk layak ke final buatnya," katanya menjelang perlawanan separuh akhir menentang Sepanyol di Wembley, Selasa ini.

Video pemain Itali bersorak untuk Spinazzola yang menaiki penerbangan meninggalkan Munich tular di media sosial.

"Kami simpati dengan 'Spina', dia tidak layak mengalami situasi ini," kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

"Dia bermain dengan bijak, salah seorang pemain terbaik kami di Euro. Ia cukup mengecewakan dan kami mendoakan yang terbaik untuknya."

Itali berhak menang perlawanan di Bavaria itu apabila Nicolo Barella meletakkan mereka di depan pada minit ke-31 sebelum Insigne menjaringkan gol kedua menerusi sepakan melencong dari luar kotak penalti.

Belgium merapatkan kedudukan apabila Romelu Lukaku menyempurnakan sepakan penalti sebelum rehat, tetapi barisan Red Devils itu gagal memecahkan benteng berdisiplin Itali selepas rehat.

Penyokong Azzurri kini mengimpikan juara Piala Dunia empat kali itu muncul juara Kejuaraan Eropah buat kali pertama sejak 1968 dengan Sepanyol kini menjadi penghalang di separuh akhir.

"Kini, kami terus bermimpi, tetapi tetap berpijak di tanah," kata pemain pertahanan, Leonardo Bonucci.

"Kami memulakan kempen Kejuaraan Eropah dengan impian di dalam laci, biarkan dulu ia di situ.

"Kami berdepan Sepanyol yang dilihat bermasalah, tetapi mara sejauh ini dan ia akan menyaksikan perlawanan hebat nanti."

Keyakinan di kem Itali kini semakin memuncak apabila mencipta rekod 32 perlawanan tanpa kalah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 8:38 PM