INSIGNE dan skuad Itali menghadiahkan kemenangan ke atas Sepanyol kepada Spinazzola. FOTO Agensi
INSIGNE dan skuad Itali menghadiahkan kemenangan ke atas Sepanyol kepada Spinazzola. FOTO Agensi
Agensi

London: Pemain Itali memberi penghormatan kepada Leornardo Spinazzola dengan menghadiahkan kemenangan separuh akhir Euro 2020 itu khas buat rakan sepasukan mereka yang mengalami kecederaan.

Tugas Spinazzola di kejohanan berkenaan berakhir selepas mengalami kecederaan Achilles tendon ketika aksi suku akhir bertemu Belgium, menyebabkan Itali kehilangan salah seorang daripada pemain bintang.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Roberto Mancini masih mampu untuk menempah slot akhir Isnin depan selepas mengalahkan Sepanyol menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

Pertahanan itu hanya dapat menyaksikan perlawanan berkenaan di rumah selepas menjalani pembedahan hujung minggu lalu.

Selepas berakhir sepakan penalti, seluruh skuad Itali dan disertai staf mereka bersama-sama menyanyi menyebut nama pemain itu dan mereka meraikan kejayaan, dengan Lorenzo Insigne memakai jersi tertera nama Spinazzola di belakang.

Federico Chiesa yang dianugerahkan pemain terbaik perlawanan selepas meledak gol pada minit ke-60 turut menghadiahkan anugerah berkenaan dan kejayaan Itali kepada pertahanan kiri AS Roma itu.

"Saya menghadiahkan anugerah pemain terbaik perlawanan kepada Leonardo Spinazzola, begitu juga dengan kemenangan hari ini.

"Dia sepatutnya membantu kami malam ini, tapi apa saja boleh berlaku dalam bola sepak, kami harap dapat memberikan dia kepuasan di perlawanan akhir nanti," kata Chiesa.

Penjaga gol, Ginaluigi Donnarumma yang tidak dapat menahan emosi selepas mengalirkan air mata kegembiraan turut mendedikasikan kemenangan kepada Spinazzola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:55 AM