PEMAIN England (dari kiri) Harry Maguire, Harry Kane dan Jordan Henderson pada sesi latihan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D dengan Republik Czech, esok.
PEMAIN England (dari kiri) Harry Maguire, Harry Kane dan Jordan Henderson pada sesi latihan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D dengan Republik Czech, esok.
AFP

London: Harry Maguire berkata, dia kini sudah cergas untuk membantu England menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan D Euro 2020 menentang Republik Czech, malam esok.

Bek tengah Manchester United itu tidak beraksi dua perlawanan awal England menentang Croatia dan Scotland kerana dalam proses pemulihan kecederaan ligamen buku lali ketika menentang Aston Villa, Mei lalu.

Pengurus England, Gareth Southgate menyenaraikannya dalam skuad Euro 2020 dengan harapan dia sempat pulih dan membantu pasukan pada sebahagian kejohanan itu.

Maguire berada di bangku simpanan ketika seri 0-0 dengan Scotland, Jumaat lalu dan dijangka turun menentang Czech di Wembley.

"Saya rasa sihat, sudah tentu dengan kecederaan buku lali, saya semakin kuat dan yakin ketika ini," kata Maguire kepada The Lions' Den.

"Lebih banyak sesi latihan dilakukan, banyak kali beraksi, saya pasti akan lebih yakin dan itulah situasi sesuai untuk kecederaan seperti ini.

"Saya fikir, ia adalah mengenai usaha membina keyakinan. Ia sudah stabil sekarang dan saya sedia beraksi."

England akan menduduki tangga teratas Kumpulan D sekiranya menewaskan Czech dan Maguire menggesa rakan sepasukan kembali bangkit selepas seri tanpa jaringan dengan Scotland.

"Kami berada pada posisi menarik di peringkat kumpulan dengan empat mata selepas dua perlawanan, walaupun sudah tentu kami mahu menang semua perlawanan dan menjadikan enam mata," katanya.

"Tetapi, ia adalah posisi kuat dan satu lagi perlawanan besar menentang Czech dan kami bersedia untuk turun berjuang dan memungut tiga mata."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:27 AM