HAALAND jadi rebutan kelab terkemuka. FOTO AFP
HAALAND jadi rebutan kelab terkemuka. FOTO AFP
Agensi

London: Erling Haaland masih lagi akan menjadi pemain utama buat Borussia Dortmund musim depan, menurut ketua pegawai eksekutif kelab.

Pemain antarabangsa Norway itu dikaitkan dengan beberapa kelab utama menjelang jendela perpindahan musim panas ini.

Manchester United, Manchester City, Chelsea, Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona antara pasukan yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 20 tahun itu.

Bagaimanapun Dortmund semakin yakin dapat mengekalkan aset berharga mereka untuk kempen musim akan datang.

Mereka pada mulanya merancang untuk mengekalkan Haaland sehingga musim panas 2022 apabila klausa pembelian dalam kontraknya membolehkannya dijual sekitar £66 juta (RM383.9 juta) .

Ketua Pegawai Ekskutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke menyatakan bahawa pasukan tidak mempunyai perancangan untuk itu.

"Saya sudah mempunyai perancangan yang jelas bahawa Erling Haaland akan terus beraksi bersama kami musim depan," kata Watzke.

"Saya tidak mahu menghabiskan masa dengan perbincangan atau apa saja."

"Saya rasa mereka (kelab luar) tahu tentang situasi kontrak dan juga keinginan kami.

"Saya benar-benar bertenang. Tiada siapa yang mempercayai kami dengan Jadon Sancho musim panas lalu sehingga tempoh akhir tamat dan dia masih lagi bersama kami," katanya.

Ejen Haaland, Mino Raiola, dikhabarkan bertemu dengan pegawai dari Madrid dan Barcelona bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 9:24 AM