CITY sahkan  Aguero, 32, akan meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat akhir musim ini. FOTO AFP
CITY sahkan Aguero, 32, akan meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat akhir musim ini. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata kelab tidak mungkin membeli penyerang musim panas ini untuk menggantikan Sergio Aguero yang akan meninggalkan kelab itu.

City pada Isnin lalu mengesahkan bahawa Aguero, 32, akan meninggalkan City apabila kontraknya tamat akhir musim ini.

Guardiola kini sedang mencari pengganti dengan menyasarkan penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland, 20, dalam senarai yang berpotensi.

Bagaimanapun, Guardiola merasakan bayaran yang diletakkan terlalu tinggi.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tapi dengan harga yang diletakkan kami tidak akan membeli mana-mana penyerang," katanya.

"Ia satu yang mustahil. Kami tidak mampu. Kebanyakan kelab bergelut dari segi kewangan dan begitu juga kami.

"Hari ini ada lebih banyak peluang dan kami tidak akan membeli penyerang untuk musim depan."

Dortmund dilaporkan menginginkan sekurang-kurangnya £128 juta (RM733.11 juta) untuk pemain antarabangsa Norway Haaland, yang mana ejennya Mino Raiola sudahpun bertemu Barcelona dan Real Madrid mengenai perpindahannya.

Kontrak Haaland akan tamat pada 2024, ia mempunyai klausa pelepasan £64juta (RM366.55 juta) yang dapat diaktifkan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 8:44 AM