Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz memerhati pemainnya menjalani latihan menjelang aksi menentang Ecuador. FOTO Agensi
Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz memerhati pemainnya menjalani latihan menjelang aksi menentang Ecuador. FOTO Agensi
AFP

Bogota: Jurulatih Colombia, Carlos Queiroz menyamakan penggunaan teknologi VAR dalam bola sepak sebagai penyakit dan mendakwa ia patut dijenamakan semula sebagai 'COVAR'.

Pengendali Portugal itu menyaksikan pasukan kendaliannya tewas 0-3 kepada Uruguay dalam saingan kelayakan Piala Dunia kelmarin dan ternyata berang dengan beberapa keputusan dalam perlawanan itu.

"Kami berdepan dengan penyakit, 'COVAR', di mana tiada seorangpun yang faham, sama ada jurulatih atau pemain," kata Queiroz dalam sidang video hari ini, disamping mengaitkan VAR seolah-olah sama seperti pandemik Covid-19.

Queiroz mendakwa pada perlawanan kelmarin, pengadil dari Argentina, Fernando Rapallini sepatutnya memberikan pasukannya penalti pada minit ke-35, apabila mereka hanya ketinggalan dengan satu gol.

"Tidak memberikan penalti, ketika pengadil itu berada empat meter dari aksi, pada minit ke-35, ia seperti penjenayah," dakwa Queiroz.

Dia menegaskan bahawa dia tidak mencari alasan atas kekalahan itu, tetapi percaya keputusan itu mampu mengubah "keseluruhan perlawanan".

Pada babak kedua, pengadil memberikan penalti kepada Uruguay yang disifatkan Queiroz sebagai "diragui".

Colombia berada di kedudukan ketujuh daripada 10 pasukan dari zon Amerika Selatan yang bersaing memburu tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2022.

Mereka akan berdepan Ecuador pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 9:11 AM