QUEIROZ (kiri) menerima jersi pasukan kebangsaan daripada presiden Persekutuan Bolasepak Colombia, Ramon Jesurun di Bogota, awal pagi tadi. - FOTO EPA
QUEIROZ (kiri) menerima jersi pasukan kebangsaan daripada presiden Persekutuan Bolasepak Colombia, Ramon Jesurun di Bogota, awal pagi tadi. - FOTO EPA
Reuters

COLOMBIA melantik bekas bos Portugal dan Real Madrid, Carlos Queiroz sebagai ketua jurulatih baru mereka.

Queiroz, yang diperkenalkan pada satu sidang akhbar di Bogota awal pagi tadi, menggantikan Jose Pekerman, yang meninggalkan jawatan itu selepas Colombia tersingkir pada pusingan kedua Piala Dunia di tangan England menerusi penentuan penalti, Julai lalu.

Queiroz, 65, akan melantik jurulatih tempatan untuk membantunya memulakan tugas itu dan menekankan kepentingan pemain ternama Colombia seperti perancang utama James Rodriguez, penyerang Radamel Falcao dan penjaga gol David Ospina.

“Pemain ini adalah tunjang utama, nadi pasukan kebangsaan,” katanya kepada wartawan. “Mereka bahagian penting dalam analisis dan pemilihan saya.”

Queiroz pernah melatih Iran, kelab Portugal, Sporting Lisbon dan Afrika Selatan, selain bertugas sebagai pembantu Alex Ferguson di Manchester United.

Perlawanan sulung kendaliannya adalah menentang Jepun di laman lawan pada 22 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 8:21 AM