Queiroz dijulang oleh pemainnya selepas skuad Iran menewaskan Maghribi. FOTO Agensi
Queiroz dijulang oleh pemainnya selepas skuad Iran menewaskan Maghribi. FOTO Agensi
AFP

CARLOS Queiroz berkata, Iran mungkin sudah memenangi perlawanan ‘final’ Piala Dunia menentang Maghribi awal pagi tadi, dan pertembungan dengan Sepanyol dianggap sebagai final ‘Piala Alam Semesta’.

Iran dianggap sebagai pencabar awal kepada Sepanyol dan Portugal dalam Kumpulan B selepas Aziz Bouhaddouz menjaringkan gol sendiri pada minit ke-95 untuk kemenangan 1-0 di Saint Petersburg.

Ia adalah kemenangan kedua Iran di pentas Piala Dunia dalam sejarah negara berkenaan sekali gus memberi semangat buat anak buah Queiroz bertemu La Roja pada Rabu ini.

“Sekiranya perlawanan menentang Maghribi adalah seperti final Piala Dunia buat kami, perlawanan bertemu Sepanyol mungkin menjadi final Piala Alam Semesta pula,” kata Queiroz.

Perjalanan Iran ke Piala Dunia penuh dengan laluan berliku. Nike menyekat bekalan kasut pemain hanya empat hari sebelum perlawanan pembukaan selepas perlawanan persahabatan bertemu Greece dan Kosovo dibatalkan.

“Ia bukan satu keajaiban yang kami menang,” kata Queiroz. “Superman hanyalah dalam kartun. Tiada siapa yang menjadi Superman.

“Apa yang boleh berlaku dalam kumpulan manusia, apabila mereka bersatu, kita mampu melakar kisah yang hebat dan perkara hebat. Sikap kami adalah untuk mencuba dan menjadikan sesuatu perkara yang mustahil menjadi sebaliknya.”

Queiroz yang pernah bersama kelab Real Madrid dan Manchester United menegaskan kemelut yang membelenggu Sepanyol minggu ini tidak mencetuskan sebarang peluang kepada pasukannya tetapi kemenangan diraih pastinya menyediakan tekanan buat mereka.

Ketika Bouhaddouz menjaringkan gol, pemain simpanan Iran jelas tidak mampu menahan perasaan mereka untuk memasuki padang dan sebaik saja wisel penamat ditiup, mereka meluru masuk dengan penuh kegembiraan.

“Ia gila, kami tidak sangka yang kami sudah melakukan sejarah,” kata pemain Iran, Alireza Jahanbakhsh. “Saya menangis. Saya dapat merasakan perasaan itu dengan apa dirasakan penyokong.

“Kami tidak berada di Iran tetapi saya ada bercakap dengan keluarga dan juga rakan dan mereka berkata, penyokong meraikan kejayaan di jalanan dan itulah yang menjadi keutamaan.

“Dengan apa yang berlaku di seluruh dunia ketika ini, bola sepak adalah salah satu perkara terbesar yang mampu menjadikan orang ramai gembira. Bola sepak boleh mengubah kehidupan manusia.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 1:36 PM