DOLLAH mengharapkan empat tonggak import akan membantu untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik Pahang. FOTO NSTP
DOLLAH mengharapkan empat tonggak import akan membantu untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik Pahang. FOTO NSTP
Asrol Awang


KUANTAN: Skuad Pahang dituntut mempamer aksi lebih padu apabila berdepan Kedah pada pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, ini kerana tiada peluang kedua pada perlawanan itu kecuali menang untuk mengesahkan tempat ke suku akhir piala berprestij itu.

"Saya katakan kepada pemain, mereka perlu memberikan segala-galanya dan menang kerana hanya satu perlawanan sahaja pada pusingan pertama sekiranya mahu meneruskan aksi di Piala Malaysia.

"Oleh itu, semua pemain perlu memanfaatkan segala peluang yang ada untuk melangkah ke pusingan seterusnya pada saingan piala berprestij itu," katanya.

Pada perlawanan malam esok, Dollah mengesahkan selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung, buat kali pertama skuad itu akan menyenaraikan empat pemain import dalam kesebelasan utama.

Katanya, sebelum ini beliau tidak dapat menurunkan keempat-empat import disebabkan kecederaan dan penggantungan.

"Diharapkan empat import ini akan membantu untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik Pahang," katanya.

Empat import berkenaan ialah Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos yang beraksi di bahagian serangan, Adam Reed (tengah) manakala Herold Goulon (pertahanan).

Berdasarkan rekod pertemuan saingan Liga Super musim ini, skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Darul Makmur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 5:00 PM