Wan  Zaharulnizam Wan Zakaria (depan) dikawal pemain PIB FC dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur. FOTO Zulkepli Osman.
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (depan) dikawal pemain PIB FC dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur. FOTO Zulkepli Osman.
Asrol Awang


PAHANG tidak menghadapi masalah untuk layak ke pusingan ketiga Piala FA apabila menewaskan Persada Integriti Bersatu (PIB FC) 4-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, sebentar tadi.

Tanpa penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme, skuad kendalian Dollah Salleh tidak berdepan kesukaran untuk menafikan kelab Liga M4 melakar kejutan dalam saingan piala berprestij itu.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah memulakan jaringan pertama menerusi sentuhan pemain tengah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria seawal minit kelapan.

Ia disusuli gol kedua skuad Tok Gajah oleh penyerang Brazil, Jose Eduardo yang menewaskan penjaga gol PIB, Izzat Abd Rahim minit ke-15 dan jaringan Safuwan Baharudin minit ke-28 untuk menutup aksi 45 minit dengan keputusan 3-0.

Bersambung babak kedua, Pahang yang juga juara bertahan terus menggandakan asakan ke kubu PIB yang dilihat sukar untuk menutup ruang buat tuan rumah menambah jaringan. 

Dengan prestasi semasa selaku pendahulu Liga Super, skuad Tok Gajah terus menambah derita pasukan berstatus amatur itu dengan menjaringkan gol keempat menerusi pemain tengah, Faisal Halim pada minit ke-60. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 11:21 PM