SRI Pahang harap sentuhan Dollah dan Fandi. -FOTO Ihsan Sri Pahang.
SRI Pahang harap sentuhan Dollah dan Fandi. -FOTO Ihsan Sri Pahang.
Asrol Awang


Kuantan: Gandingan Dollah Salleh dan Fandi Ahmad diyakini memacu Sri Pahang FC mempersembahkan prestasi terbaik bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata pengalaman yang dimiliki Dollah dan Fandi akan membantu membentuk skuad Tok Gajah yang lebih mantap.

"Kelab sememangnya mahu perubahan dalam barisan kejurulatihan ini dalam usaha mengembalikan pasukan dengan prestasi dan corak permainan terbaik.

"Kita harapkan gandingan dua bekas pemain Pahang ini meletakkan kedudukan lebih baik berdasarkan pengalaman yang mereka miliki," katanya.

Semalam, kelab itu mengumumkan pelantikan pengurus pasukan, Dollah sebagai ketua jurulatih skuad Tok Gajah.

Pada masa sama, Sri Pahang turut mengumumkan Fandi yang juga bekas pemain Singapura sebagai penasihat teknikal kelab itu.

Dengan pengalaman serta pernah bermain bersama Pahang pada 1991-1992, gandingan Dollah dan Fandi diharap membantu melonjakkan kedudukan Sri Pahang dalam saingan Liga Super.

Ketika ini, Sri Pahang berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super selepas sekadar mengutip lapan mata daripada 11 perlawanan.

Ditanya aksi suku akhir Piala FA Sri Pahang berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur malam esok, Mohammed Suffian mahu semua pemain memanfaatkan segala peluang yang dimiliki.

Katanya, kemenangan itu penting untuk melayakkan skuad Tok Gajah ke separuh akhir piala berprestij itu.

"Saya harap dengan kembalinya Dollah selaku jurulatih dan Fandi sebagai penasihat teknikal, Sri Pahang akan menewaskan Penang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 12:33 PM