Dollah berhati-hati dengan taktikal berdepan JDT di Larkin. FOTO NSTP
Dollah berhati-hati dengan taktikal berdepan JDT di Larkin. FOTO NSTP
Asrol Awang


PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengakui tugas getir menanti skuad itu berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Biarpun skuad Tok Gajah melakar kemenangan besar membenam Terengganu FC (TFC) 4-0 pada suku akhir kedua Piala FA, minggu lalu, beliau mahu anak buahnya berhati-hati dengan corak taktikal digunakan skuad Harimau Selatan pada perlawanan itu nanti.

"Bertandang ke gelanggang mereka (JDT), sudah pasti menjadi cabaran yang sangat besar kepada kami.

Saya sudah maklum kepada semua pemain supaya memberikan fokus sepenuhnya dan bermain dengan penuh bersemangat.

"Kunjungan ke Larkin adalah tugas berat dan memandangkan kita ketinggalan lima mata, sudah tentu kita mahukan kemenangan selepas sekadar seri 1-1 pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

"Saya harap kemenangan ke atas TFC Jumaat lalu menjadi pencetus semangat kepada pemain menunjukkan prestasi konsisten mereka," katanya.

Ditanya mengenai kecederaan dialami penyerang import, Dickson Nwakaeme, Dollah berkata, pemain dari Nigeria itu berkemungkinan besar dapat disenaraikan untuk perlawanan itu.

"Memang dia (Nwakaeme) mengalami kecederaan ketika beraksi Jumaat lalu, tapi saya rasa dia boleh kembali bersama skuad Tok Gajah.

"Kita perlukan khidmatnya dalam perlawanan penting seperti menentang JDT. Kita boleh nampak kesan dan impak dibawa pemain itu ketika aksi suku akhir kedua Piala FA.

"Kalau boleh, saya mahu Nwakaeme ada dalam senarai kesebelasan utama skuad Tok Gajah (malam) esok dan menerajui jentera serangan," katanya.

Selepas 12 perlawanan, skuad Tok Gajah kekal di tempat kedua dengan 25 mata berbanding 30 mata diraih skuad Harimau Selatan. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:43 PM