AARON (kanan) dan Wooi Yik tidak konsisten sejak akhir-akhir ini.
AARON (kanan) dan Wooi Yik tidak konsisten sejak akhir-akhir ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta seluruh peminat tanah air memberi ruang kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan sandaran bagi membawa pulang pingat emas di Paris.

Ia susulan prestasi beregu nombor satu negara itu yang dilihat seperti yo-yo selepas gagal menghasilkan keputusan positif di tiga kejohanan terakhir.

Mereka tersingkir di suku akhir Masters Malaysia dan Terbuka Singapura manakala ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Indonesia.

Justeru Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata, BAM ketika ini mengambil langkah berjaga-jaga dalam mempersiapkan beregu negara itu.

Ia susulan untuk memastikan beregu negara yang kini menghuni ranking kelima negara tidak berada dalam keadaan tertekan ketika baki temasya Olimpik hanya berbaki 44 hari.

Michelle ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu nasib seperti pernah menimpa bekas gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon berulang kepada Aaron-Wooi Yik di temasya terbesar dunia itu.

"Kevin dan Marcus diletakkan harapan meraih emas tapi mereka tersingkir di suku akhir. Biarpun mereka mempunyai reputasi cukup tinggi kerana berada di prestasi terbaik.

"Saya ada pernah baca hantaran Kevin-Marcus di media sosial. Mereka katakan semua orang harap mereka menang emas di Olimpik yang terakhir (Tokyo), semua tempat atau orang yang mereka jumpa semua cakap mengenai menang emas.

"Tapi sampai kejohanan, sebaliknya berlaku mereka tidak dapat beraksi dengan baik dan tersingkir awal.

"Jadi kita harap perkara itu tak berulang kepada Aaron-Wooi Yik. Jadi kita bagi mereka ruang," katanya.

Menurut Michelle, Aaron-Wooi Yik kini berada di Pulau Pinang selama tiga hari bagi mengikuti program motivasi bersama pakar psikologi, Frederick Tan.

Manakala dua lagi pasangan negara yang layak ke Paris iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 4:06 PM