Zawawi Othman
Zawawi Othman
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Umno Kelantan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung permintaan Ahli Parlimen Gua Musang yang mahu mempertahankan kerusi berkenaan, jika keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kelak tidak berpihak kepadanya.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Zawawi Othman, bagaimanapun berkata, keputusan pucuk pimpinan parti juga perlu mendapat persetujuan semua terutama Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

"Siapa nak bertanding sekiranya kerusi Parlimen Gua Musang diisytiharkan kosong bukan isu utama kerana calon ada ramai, yang penting adalah parti.

"Perkara pertama adalah Mohd Azizi perlu ada parti jika mahu bertanding. Pada masa sama, kerusi berkenaan akan dinilai untuk diberikan kepada BN atau PH mengikut sokongan di kawasan berkenaan.

"Sebagai contoh, jika kerusi berkenaan diberikan kepada BN, manakala Azizi pula menyertai parti yang bukan BN, sudah tentu beliau tidak boleh menjadi calon di Parlimen berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, Umno Kelantan akur segala keputusan yang dibuat parti namun perlu mengambil kira pandangan semua pihak.

"Jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh setuju, itu adalah sebahagian daripada keputusan kita," katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, akan mempertahankan kerusi disandangnya sekarang jika keputusan Johari kelak tidak berpihak kepadanya, hingga perlu mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan.

Mohd Azizi berkata, beliau akan cuba meyakinkan kepimpinan PH dan BN bahawa beliau calon paling layak bertanding, sekali gus mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya ketika ini.

Katanya, dia sudah memulakan kerja untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan sebelum ini sejak 2020 lagi dan adalah tidak adil jika kerusi itu diberikan kepada orang lain sekiranya diisytihar kosong oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 9:46 AM