AARON (kanan) akui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. FOTO BAM
AARON (kanan) akui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia mengakui terkejut dengan pengumuman drastik pengguguran lima pemain senior daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ia satu berita yang tidak diduga dan bagaikan amaran awal buat semua pemain dalam skuad negara untuk mengekalkan prestasi mereka di tahap terbaik.

Aaron yang muncul naib juara Toyota Terbuka Thailand bersama Soh Wooi Yik kini dalam persiapan untuk menghadapi siri Jelajah Eropah membabitkan Terbuka Switzerland dan Seluruh England yang akan berlangsung bulan depan selepas satu lagi kejohanan Terbuka Jerman dibatalkan.

Kata Aaron, dia akan cuba memberi aksi terbaik dan mara ke final seterusnya muncul juara sebagai suntikan semangat ke Olimpik Tokyo kerana Terbuka Switzerland adalah kejohanan pertama yang menawarkan mata ke Olimpik.

"Selepas tiga kejohanan di Thailand banyak yang saya dan Wooi Yik pelajari. 'Feeling' kejohanan itu semakin dapat dirasai namun belum sepenuhnya.

"Memang banyak kelemahan yang kami kenal pasti dan banyak juga yang perlu diperkemaskan dan dibincangkan bersama jurulatih (Flandy Limpele)," katanya.

Skuad badminton negara sudahpun kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas diberi cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk berentap di Eropah, Aaron berkata akan memberikan persembahan terbaik dan yang penting adalah konsisten.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah lima kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 9:24 PM