REXY mahu pemain lupakan semua urusan lain dan fokus hanya kepada latihan dan kejohanan disertai.
REXY mahu pemain lupakan semua urusan lain dan fokus hanya kepada latihan dan kejohanan disertai.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menuntut barisan pemain untuk memberi fokus 100 peratus kepada latihan berbaki 73 hari sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai.

Katanya, pemain ketika ini perlu melupakan segala urusan lain dan hanya memberi fokus kepada latihan dan kejohanan disertai.

"Sekarang ini biar jurulatih pening kepala uruskan semua. Pemain bagi komitmen kepada latihan saja dan uruskan perkara berkaitan dengan badminton.

"Benda ini sudah saya cakap kepada pemain ketika bertemu dengan mereka Isnin lalu. Mereka pun sudah tahu tugas mereka. Jadi saya mahu pemain ambil serius perkara ini dan jangan fikir perkara lain selain latihan dan kejohanan.

"Saya juga bangkitkan perkara ini kepada jurulatih terbabit dengan program RTG (Road to Gold) dan menuntut pengorbanan mereka supaya pemain kita betul-betul dalam keadaan terbaik," katanya.

Rexy ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berkata turut mengambil pendekatan berwaspada untuk berkongsi perkembangan pemain negara.

Ia kerana perkara berkenaan mungkin boleh mendatang kemudaratan yang mana pihak lawan mengetahui persiapan terkini barisan negara.

"Kadang-kadang pemain kita ini terlalu baik dengan lawan. Kongsi semua perkara dan dedahkan kekuatan dan kelemahan kita pada umum.

"Jadi selepas ini mereka perlulah lebih berhati-hati kerana ini adalah Olimpik. Kena tunggu empat tahun sekali," katanya.

Seramai tiga wakil negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) layak ke Olimpik Paris kali iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei manakala dua lagi pemain perseorangan lelaki dan wanita profesional iaitu Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Ada tiga lagi kejohanan akan disertai pemain negara sebelum berlepas ke Paris bermula Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei, Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 5:27 PM