LEGENDA badminton negara, Datuk Dr Misbun Sidek (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pengarah Eksekutif Destina 1 International, Datuk Seri Dr Barani Karanakaran pada majlis MOU legenda badminton dengan Destina 1 International bagi mempromosikan program Uniwave by Quantes Technology gaya hidup sihat. Turut serta Jalani (kiri), FOTO ROHANIS SHUKRI
LEGENDA badminton negara, Datuk Dr Misbun Sidek (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pengarah Eksekutif Destina 1 International, Datuk Seri Dr Barani Karanakaran pada majlis MOU legenda badminton dengan Destina 1 International bagi mempromosikan program Uniwave by Quantes Technology gaya hidup sihat. Turut serta Jalani (kiri), FOTO ROHANIS SHUKRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ramai yang mempersoalkan kemampuan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhadap kemampuan untuk menghadiahkan emas pertama negara di temasya Olimpik, Paris berdasarkan prestasi di kejohanan sebelum ini.

Begitupun, bagi legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek berkata, Aaron-Wooi Yik masih ada masa untuk memperbetulkan segala kelemahan yang ada dan menganalisa setiap inci kekuatan dan kelemahan lawan.

Aaron-Wooi Yik yang kini berada di Pulau Pinang bersama pakar psikologi, Frederick Tan perlulah mencari ramuan untuk menjadikan mereka yang terbaik.

"Pada saya yang penting adalah persediaan. Bagaimana persediaan mereka, bermula dari sini hinggalah ke Olimpik.

"Kita mungkin ada dua bulan lagi. Mereka perlu melihat siapakah lawan kerana kalau Olimpik kita dah tahu siapa lawan yang akan kita jumpa, mereka pun dah tahu dah biasa main dengan lawan-lawan mereka itu.

"Jadi buatlah persiapan daripada sekarang supaya ia tidak memberi tekanan yang lebih apabila mereka di sana nanti," katanya yang ditemui pada majlis pengumuman kerjasama di antara Destina1 International Sdn Bhd bersama lagenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek dan Jalani di sini hari ini.

Aaron-Wooi Yik menjadi sandaran untuk membawa pulang emas selepas meraih gangsa pada edisi Olimpik yang lalu di Tokyo 2020.

Atas perkara itu, Jalani tidak menolak bahawa Aaron-Wooi Yik kini berada dalam tekanan dengan sasaran yang diletakkan dibahu mereka.

Justeru mereka kini perlu memperbaiki kesefahaman kerana itu kunci utama kekuatan pemain dan harus percaya kepada kemampuan diri masing-masing.

"Sekarang ini carilah apa kelebihan dan kekurangan yang harus mereka diperbaiki untuk mereka menang.

"Itulah yang harus ditekankan sekarang. Dan saya cakap daripada segi kecergasan juga mereka harus naikkan sedikit untuk lebih pergi lebih jauh," katanya.

Untuk rekod, graf prestasi Aaron-Wooi Yik dilihat menurun berdasarkan tiga kejohanan terakhir yang disertai.

Mereka yang menghuni ranking kelima dunia itu tersingkir di suku akhir Masters Malaysia dan Terbuka Singapura manakala ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:54 PM