AARON Chia.
AARON Chia.
Aida Adilah Mat


PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia mahu menggunakan tempoh sebulan berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk memantapkan latihan fizikal selepas hampir tiga bulan berada di rumah.

Atlet kelahiran Melaka itu kini berada di landasan terbaik mendapatkan semula rentak seterusnya kembali ke prestasi terbaik seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas dua minggu menjalani latihan berkonsepkan kuarantin di ABM, Aaron berkata, dia tidak menetapkan sebarang tempoh untuk mendapatkan balik sentuhan terbaiknya.

"Saya tidak tetapkan masa. Tapi sekarang saya mahu memberi fokus kepada latihan kecergasan dulu. 'Feeling' di gelanggang itu juga sudah semakin kembali," katanya.

Terdahulu Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik muncul naib juara Seluruh England tahun lalu berada di ranking kesembilan dunia dan dilihat tidak mempunyai masalah mengekalkan kedudukan ranking ke Olimpik Tokyo tahun depan.

Diharapkan kehadiran ketua jurulatih beregu yang baru iaitu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens, 2004, Flandy Limpele mampu memberikan memberikan sentuhan magis buat beregu nombor satu negara itu sekali gus meraih emas pertama di temasya Olimpik nanti. Mengulas mengenai Flandy, Aaron berkata dia sendiri tidak sabar untuk bekerjasama dengan jurulatih itu.

Biarpun sudah dua kali bertukar jurulatih yang sebelum ini dikendalikan oleh Cheah Soon Kit dan Paulus Firman, Aaron berkata, ia tidak pernah menjejaskan mutu permainannya namun mengakui memerlukan masa untuk berbincang dan menyesuaikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 8:23 PM