PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik giat menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. FOTO BERNAMA
PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik giat menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui terdapat perubahan positif membabitkan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sejak mengikut kem latihan khas selama sebulan sebelum menyertai temasya Olimpik Julai ini.

Rexy berkata, keputusan Aaron dan Wooi Yik untuk tinggal di kem Akademi Badminton Malaysia (ABM) sepenuh masa berjaya mengelak daripada dipengaruhi 'anasir luar' sekali gus mampu mempertingkatkan keupayaan masing-masing dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, beregu utama negara yang diletakkan sandaran untuk membawa pulang pingat buat negara juga semakin komited terhadap latihan mereka namun barisan kejurulatihan tetap memantau supaya tidak mengalami kecederaan hingga mampu menganggu persediaan ke temasya Olimpik.

"Saya lihat setakat ini, Aaron dan Wooi Yik sudah ada perubahan apabila mereka membuat keputusan untuk tinggal di ABM sepenuh masa sebelum pergi ke Olimpik.

"Mereka lebih tenang dan sentiasa fokus. Jika di luar mungkin ada gangguan tapi di sini (ABM) boleh jalani latihan dan merancang taktikal lebih baik," katanya.

Mengikut rekod, skuad negara kemudian akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire Sur La Lys, Perancis bermula 10 Julai, menjalani kem latihan pra-Olimpik menjelang temasya terbesar dunia itu, yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Selain Aaron-Wooi Yi, pemain BAM yang bakal beraksi di Olimpik Paris dalam usaha memburu pingat emas pertama negara ialah, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dan pasangan campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Malaysia turut akan diwakili dua pemain professional, iaitu juara bekas All England Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan bekas juara Kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

Sementara itu, Rexy berkata Wooi Yik mahu tinggal di ABM sehingga bertolak ke Perancis pada 10 Julai, supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya dan mengelakkan gangguan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 3:44 PM