SZE Fei, Izzuddin gagal mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia.
SZE Fei, Izzuddin gagal mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu nombor dua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal meneruskan perjuangan ke separuh akhir selepas tewas kepada gandingan nombor dua dunia dari China, Liang Wi Keng-Wang Chang di suku akhir Terbuka Indonesia hari ini.

Kemenangan set pertama Sze Fei-Izzuddin gagal membantu wakil negara itu mara lebih jauh apabila Wi Keng-Wang Chang bangkit dua set seterusnya untuk menang 18-21, 21-18, 21-19.

Beregu negara yang berada di ranking ke-13 dunia bermain baik di set pertama dan hampir menamatkan perlawanan dengan straight set selepas mendahului 16-13 di set kedua.

Namun pilihan kedua kejohanan itu bangkit dengan pantas untuk menafikan kemenangan kepada Malaysia.

Dalam perlawanan set penentuan, permainan kurang menjadi buat beregu negara apabila membiarkan lawan mendahului seawal permainan sehingga kedudukan 19-13 tetapi Sze Fei-Izzuddin hampir mengejutkan lawan apabila berjaya mendapat enam mata berturut-turut untuk mengikat kedudukan 19-19.

Namun begitu, pengalaman dimiliki pemenang Piala Thomas 2024 itu berjaya mengekalkan fokus serta momentum baik untuk memastikan mereka ke pusingan seterusnya.

Untuk rekod, selepas tiga kali bertemu, pasangan negara masih gagal mengatasi Wi Keng-Wang Chang apabila tewas dalam kesemua pertemuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 10:23 PM