SZE Fei dan Izuddin tewas kepada rakan senegara.
SZE Fei dan Izuddin tewas kepada rakan senegara.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir seperti di Terbuka Denmark minggu lalu tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada rakan senegara, Ong Yew Sin- Teo Ee Yi di pusingan pertama Terbuka Perancis sebentar tadi.

Sze Fei-Izzuddin terpaksa akur dengan status Yew Sin-Ee Yi iaitu selaku pilihan ketujuh kejohanan apabila mereka tumpas 24-22, 20-20, 17-21 dalam aksi sengit yang berlangsung selama satu jam 10 minit di Stade Pierre de Coubertin.

Yew Sin-Ee Yi yang bergerak secara profesional pada satu ketika berada dalam keadaan selesa di set pertama apabila mendahului 12-7, namun Sze Fei-Izzuddin berjaya mempamerkan kebangkitan dengan menyamakan kedudukan 12-12 sebelum kedua-dua bekas rakan sepelatih itu saling mengejar mata antara satu sama lain.

Aksi di set kedua hampir mengulangi skrip sama dengan kedua-dua pasangan saling berkejaran mata selepas terikat 12-12, namun Sze Fei-Izzuddin gagal mencari mata penamat sehingga membiarkan lawan mereka mengejar dan menoktahkan pertarungan walaupun sedang mendahului 20-18.

Set penentuan menyaksikan kedua-dua gandingan sentiasa mengejar pungutan mata antara satu sama lain namun Yew Sin-Ee Yi tidak lagi menoleh ke belakang selepas mendahului 20-16 untuk mengesahkan slot ke pusingan kedua.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah wakil dari England, Callum Hemming-Steven Stallwood yang menumpaskan pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-13 24-22.

Di Terbuka Denmark minggu lalu, Yew Sin-Ee Yi terkandas di suku akhir selepas kalah kepada gandingan Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 18-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 10:16 PM