NUR Izzuddin-Sze Fei mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC). FOTO ASWADI ALIAS
NUR Izzuddin-Sze Fei mara ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC). FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus menikmati 'mimpi indah' apabila menewaskan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke pentas final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, sebentar tadi.

Dengan momentum begitu baik sejak pusingan pertama, Sze Fei-Izzuddin terus mempamerkan corak permainan yang konsisten tanpa banyak melakukan kesilapan.

Kelebihan itu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan agak mudah di set pertama buat pasangan negara yang berada di ranking ke-19 dunia itu dengan keputusan 21-14.

Aaron-Wooi Yik diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan cuba bangkit di set kedua dengan tidak membiarkan lawan mereka menjarakkan mata begitu jauh sebelum meraih kemenangan 21-18.

Kemaraan ke perlawanan akhir ini juga adalah yang pertama untuk mereka bagi tahun 2024.

Untuk rekod, tahun ini kedua-dua pasangan negara sudah bertemu dua kali di Terbuka Malaysia dan Seluruh England dengan kemenangan straight set memihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Menanti mereka di pentas final esok adalah sama ada wakil tuan rumah, Liang Wei Keng- Wang Chang atau pasangan dari Taiwang, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Terdahulu Sze Fei-Izzuddin mencipta kejutan dengan menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama dengan kemenangan straight set 21-13 dan 21-18 dalam tempoh 44 minit.

Di pusingan kedua pula, wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiangyu yang berada di tangga ke-11 dunia turut menjadi mangsa beregu negara itu dengan kemenangan straight set 21-13, 21-18 dalam tempoh 44 minit.

Manakala di suku akhir, Sze Fei-Izzuddin menewaskan pasangan Taiwan yang berada di ranking ke-10 dunia, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 21-19, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 2:21 PM