IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei (kanan) ketika menentang pasangan Denmak, Rasmus Kjer dan Frederik Sogaard. -FOTO Bernama
IZZUDDIN (kiri) dan Sze Fei (kanan) ketika menentang pasangan Denmak, Rasmus Kjer dan Frederik Sogaard. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Bijak mengawal tekanan dan fokus mata demi mata antara resipi kejayaan buat beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sze Fei-Izzuddin berjaya mengikat kedudukan 2-2 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D Piala Thomas yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech di Chengdu, China, semalam.

Meskipun pada awal permainan set pertama memperlihatkan pasangan negara itu jauh ketinggalan kepada beregu kedua dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard namun Sze Fei-Izzuddin berjaya menukar rentak permainan sehingga mendapatkan kemenangan straigt set 23-21, 22-20 dalam masa 50 minit.

Jelas Sze Fei, ketika set kedua, mereka menyedari pasangan Denmark itu cuba mendapatkan kemenangan untuk mengheret permainan ke set ketiga tetapi wakil negara nampak lebih bersedia mengawal perlawanan dan berjaya menafikannya.

"Kami bangkit di set pertama selepas ketinggalan 19-13. Kami hanya menikmati permainan dan suasana (perlawanan).

"Dalam set kedua, kami memperlahankan rentak permainan dan bermain tanpa melakukan kesilapann agar pasangan Denmark itu tidak mengheret permainan ke set penentuan," katanya.

Terdahulu, sebelum Sze Fei-Izzuddin turun, menyaksikan Malaysia ketinggalan 1-2 kepada Denmark selepas pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao tewas kepada lawan masing-masing dan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang mata pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 2:09 PM