ZII Jia pamer tentangan sengit sebelum ditundukkan Antonsen.
ZII Jia pamer tentangan sengit sebelum ditundukkan Antonsen.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Isu menolak menyertai Program Road To Gold (RTG) yang sedang hangat diperkatakan di tanah air mungkin sedikit mengganggu perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Jepun sebentar tadi.

Zii Jia yang mengesahkan tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) di bawah program itu tumpas straight set 18-21, 20-22 ketika menentang pemain Denmark, Anders Antonsen di Kumamoto.

Selepas menarik diri daripada menyertai Masters Korea minggu lalu, harapan Zii Jia untuk kembali menyambung aksi dengan keputusan positif tidak menjadi kenyataan dan perlu membuktikan kemampuannya di Masters China minggu depan.

Semalam, dalam satu kenyataan media Sekretariat RTG mengesahkan pemain profesional itu tidak akan meneruskan Program RTG.

Menurut Sekretariat RTG, mereka sudah mengadakan perbincangan atas talian bersama Team Lee Zii Jia (Team LZJ) dan akur dengan keputusan pemain kelahiran Kedah itu.

Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berjaya mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Wang Tzu Wei dari Taiwan 21-12, 21-11.

Tze Yong yang memburu tempat ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bakal berdepan Viktor Axelsen dari Denmark, selepas pilihan utama itu mengetepikan Chico Aura Dwi Wardoyo (Indonesia) 21-11, 21-7.

Bagi aksi beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tumpas kepada pasangan Indonesia yang baru digandingkan Rahmat Hidayat-Kevin Sanjaya Sukamuljo 19-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 6:43 PM